Menuju Arafah dari Jabal Tsaur biasanya anjang menyambung cerita
kisah penghijrahan Rasulullah SAW dan Saiyidina Abu Bakar As Siddiq.
Kisah yang sangat menyentuh hati kita ialah peristiwa Suraqah bin Malik.
Bagaimana kisahnya?!
Rasa kecewa, marah dan putus asa berkecamuk dalam dada para pembesar
Quraisy. Mereka gagal menghalang langkah Rasulullah SAW dan Saiyidina
Abu Bakar RA yang berhijrah ke Yasrib. Padahal mereka sudah mengepung
rumah Rasulullah SAW, bahkan sudah sampai di pintu Gua Tsaur, tempat
persembunyian Rasulullah SAW dan sahabatnya, As Siddiq. Akhirnya mereka
memutuskan membuat tawaran untuk menangkap keduanya. Agar tidak terlalu
berat menanggung malu, tawaran itu diumumkan ke seluruh kabilah yang
banyak di sepanjang jalan antara Makkah dan Yasrib.
“Barang siapa yang berjaya membawa Muhammad, hidup atau mati, maka
baginya seratus ekor unta betina yang hampir beranak.” Begitulah
pengumuman mereka.
Dengan segera berita itu tersebar ke mana-mana. Tak terkecuali ke
Madlaj, kampung kecil di pinggiran kota Makkah. Ketika utusan dari
Makkah datang membawa berita tawaran itu, beberapa penduduk kampung itu
sedang lepak berbual-bual di tempat pertemuan biasa di kampung itu.
Mendengar pengumuman itu, seorang pemuda bernama Suraqah bin Malik Al
Madlaji sangat tertarik. Dia bertekad merebut hadiah besar itu. Rasa
tamak mendorongnya ingin memenangi tawaran itu sendirian. Kerana itu, ia
tidak memceritakan perancangannya kepada orang lain.
Kebetulan, ada seorang lelaki datang ke tempat pertemuan warga
kampung itu. Dia bercerita bahwa baru saja dia bertemu dengan tiga orang
musafir. Dia rasa, ketiga orang itu adalah Muhammad, Abu Bakar dan
seorang penunjuk jalan.
“Tidak mungkin!” bantah Suraqah. “Mereka adalah Bani Fulan yang tadi
lalu di sini untuk mencari unta mereka yang hilang,” kata Suraqah untuk
menarik perhatian mereka.
“Mungkin saja,” kata yang lain mengiyakan Suraqah. Cerdik Suraqah,
politiknya tak menimbulkan kecurigaan orang-orang kampung itu. Ketika
mereka beralih berbual isu yang lain, diam-diam Suraqah menyelinap
keluar. Ia bergegas pulang. Sampai di rumah, ia menyuruh khadamnya
menyiapkan kuda dan membawanya ke sebuah lembah yang telah ditentukan
dan menambatkannya di sana.
“Keluarlah dari pintu belakang. Hati-hati, jangan sampai dilihat orang! Siapkan juga senjataku,” perintah Suraqah.
Beberapa saat kemudian, Suraqah pergi menyusul. Setelah berjumpa
dengan khadamnya, segera ia mengenakan baju besi, menyandang pedang dan
memasang pelana. Kemudian dia menunggang kudanya selaju-lajunya. Dalam
fikirannya terbayang seratus ekor unta akan berada dalam genggamannya.
Suraqah bin Malik terkenal sebagai penunggang kuda yang handal. Susuk
badannya tinggi besar, pandangan matanya tajam. Sangat sesuai menjadi
pakar pencari jejak. Tidak ada jalan yang sulit baginya. Apalagi kudanya
tangkas dan terlatih baik.
Suraqah terus menunggang laju kudanya. Tanpa diduga, tiba-tiba kaki
kudanya terlanggar sesuatu lalu Suraqah pun jatuh terguling. “Celaka kau
kuda!” katanya menyumpah kesal.
Tanpa mempedulikan rasa sakit, ia melompat lagi ke atas kudanya dan
terus menunggangnya. Baru beberapa langkah, kudanya terjatuh lagi.
Suraqah rasa semakin kesal tetapi pelik. Belum pernah ia mengalami
kejadian seperti ini. Sempat terdetik di hatinya untuk kembali saja ke
kampungnya. Tapi cita-citanya untuk memiliki seratus ekor unta membakar
semangatnya untuk menunggang kembali kudanya.
Tiba-tiba dada Suraqah berombak. Berdebar tetapi gembira. Kegembiraan
yang luar biasa menguasai hatinya. Tidak begitu jauh di depan, dia
melihat tiga orang sedang berjalan. Dia yakin mereka adalah targetnya.
Perlahan-lahan ia mendekati mereka. Bila sampai dalam jarak yang sangat
dekat, tangannya bergerak mengambil busur. Kuasa Tuhan mengatasi
segalanya. Mukjizat Rasulullah berlaku, tiba-tiba tangannya menjadi
kaku, sedikitpun tak dapat digerakkan. Kaki kudanya terbenam pasir.
Debu-debu berterbangan di sekitarnya, membuat matanya kabur dan tak
dapat melihat. Dicuba memaksa kudanya tetapi sia-sia saja. Kaki kudanya
melekat di padang pasir seakan dipasak. Dalam keadaan panik, Suraqah
akhirnya menjerit,
“Tolong, berdoalah kepada Tuhan kalian, supaya Dia melepaskan kaki kudaku. Aku berjanji tidak akan mengganggu kalian!”
Rasulullah menoleh, tersenyum, dan berdoa. Sungguh menakjubkan, kaki
kuda Suraqah bebas dari cengkaman pasir. Suraqah merasa heran dan kagum.
Namun rasa tamak yang telah menguasai dirinya membuatkan ia melupakan
janjinya. Secara tiba-tiba ia meluru depan mahu mengejar Rasulullah SAW
semula. Malang baginya, kaki kudanya terbenam lagi, bahkan lebih parah
dari tadi. Rasa takut menguasai hatinya. Ia segera memohon belas kasihan
kepada Rasulullah SAW.
“Ambillah bekalanku, harta, dan senjataku. Aku berjanji, demi Allah, tidak akan mengganggu kalian lagi,” ucap Suraqah.
“Kami tidak perlukan hartamu. Jika kamu menyuruh setiap orang yang
hendak mengejar kami supaya kebali, itu sudah cukup bagi kami,” jawab
Rasulullah SAW. Rasulullah lantas berdoa, dan bebaslah Suraqah dan
kudanya.
“Demi Tuhan, saya tidak akan mengganggu tuan-tuan lagi. Aku akan
menyuruh setiap orang yang berusaha mengejar kalian supaya pulang
nanti,” janji Suraqah seraya berpatah balik.
“Apa yang engkau kehendaki dari kami?” tanya Rasulullah SAW.
“Demi Allah, wahai Muhammad, saya yakin agama yang engkau bawa akan
menang dan kekuasaan engkau akan tinggi. Berjanjilah padaku, apabila aku
datang menemuimu nanti, sudilah engkau bermurah hati padaku.”
“Hai Suraqah, bagaimana jika pada suatu waktu engkau memakai gelang kebesaran Kisra?” tanya Rasulullah SAW.
“Gelang kebesaran Kisra bin Hurmuz?” cetus Suraqah hairan.
“Ya, gelang kebesaran Kisra bin Hurmuz!”
“Tuliskanlah itu untukku.”
Rasulullah menyuruh Saiyidina Abu Bakar RA menulis pada sepotong tulang, lalu beliau memberikan tulang itu kepada Suraqah.
Setelah yakin Rasulullah dapat meneruskan perjalanannya dengan aman,
Suraqah kembali pulang. Di tengah jalan ia berpesan kepada orang-orang
yang hendak mengejar Rasulullah SAW. “Kembalilah kalian semuanya! Telah
kuperiksa seluruh tempat dan jalan-jalan yang mungkin dilaluinya. Namun
aku tidak menemukan Muhammad itu! dan kalian semua tidak secekap aku
dalam mencari jejak!” Jerit Suraqah kepada mereka.
Dengan kecewa, orang-orang itu membatalkan niatnya. Sementara Suraqah
tetap merahsiakan pertemuannya dengan Rasulullah SAW. Setelah ia yakin
benar Rasulullah SAW telah tiba di Madinah, barulah ia membuka rahsia
itu. Mendengar cerita Suraqah, Abu Jahal tersangat marah dan menjerit,
“Pengecut! Tak tahu malu! Engkau benar-benar bodoh!” teriak Abu Jahal.
“Hai Abul Hakam! Demi Allah, kalaulah engkau mengalami peristiwa yang
kualami ketika kaki kudaku terbenam ke dalam pasir, engkau akan yakin
dan tak akan ragu sedikit pun, bahwa Muhammad itu benar-benar utusan
Allah. Baiklah, siapa yang sanggup menentangnya, silakan!” sahut Suraqah
tak mau mengalah.
Hari terus berganti.
Sepuluh tahun kemudian, Rasulullah yang dulunya meninggalkan kampung
halamannya berjaya kini menawan kota Mekah, kota kelahirannya. Saat
itulah, para pembesar Quraisy yang selama ini memusuhinya, datang
menghadap dengan kepala tunduk. Rasa takut dan cemas memenuhi hati
mereka. Keinginan mereka hanya satu: Mohon belas kasihan dan
mengharapkan kemaafan Rasulullah SAW dan menyakini baginda bukanlah
pendendam, kerananya mereka semua dilepas dan dimaafkan. “Pergilah,
kalian semua bebas,” ucap Rasulullah.
Beberapa saat kemudian, datang seorang lelaki dengan menunggang kuda.
Ia ingin sekali menemui Rasulullah SAW. Lelaki itu adalah Suraqah yang
ingin menyatakan imannya di hadapan Rasulullah SAW langsung. Tidak lupa
dia membawa sepotong tulang bertuliskan perjanjian Rasulullah SAW
kepadanya sepuluh tahun yang lalu. Suraqah berjaya menemui Rasulullah
SAW di Ja’ranah, di perkemahan pasukan berkuda bersama kaum Ansar.
Tetapi orang-orang yang ada di sekeliling perkemahan itu tidak
mengizinkan Suraqah untuk menghampiri baginda. Bahkan di antara mereka
ada yang memukulnya dengan belakang tombak.
“Berhenti! Berhenti! Hendak ke mana engkau?” Halang mereka.
Suraqah diam saja. Pukulan dan usaha para sahabat untuk
menghalanginya tidak dihiraukan. Ia terus mendesak di antara mereka
hingga rapat dengan Rasulullah SAW yang sedang duduk di atas unta.
Sebaik sahaja Rasulullah SAW melihatnya, Suraqah segera mengangkat
tulang yang dipegangnya.
“Wahai Rasulullah, saya Suraqah bin Malik. Dan inilah tulang bertuliskan perjanjian engkau kepadaku dahulu.”
“Mari ke sini wahai Suraqah! Hari ini adalah hari menepati janji!” sahut Rasulullah SAW.
Di hadapan Rasulullah, Suraqah mengikrarkan keislamannya. Tak lama
kemudian, hanya dalam waktu lebih kurang sembilan bulan sesudah
keislamannya, Rasulullah SAW kembali menemui ilahi. Semua sahabat
bersedih, begitu Suraqah. Bayangan masa lalunya muncul, ketika ia hendak
membunuh Rasulullah SAW yang mulia, hanya karena tamakkan seratus ekor
unta. Sedangkan sekarang andaikata seluruh unta di muka bumi dikumpulkan
untuknya, tiadalah berharga dibanding hujung kuku Nabi SAW. Tanpa
disedarinya, dia mengulangi ucapan Rasulullah SAW kepadanya,
“Bagaimana, hai Suraqah, jika engkau memakai gelang kebesaran Kisra?”
Setelah wafatnya Rasulullah SAW, umat Islam dipimpin oleh Saiyidina
Abu Bakar As Siddiq. Tetapi, hingga Saiyidina Abu Bakar wafat Suraqah
belum memperolehi janji Rasulullah SAW kepadanya kerana memang Farsi
belum ditakluki. Namun Suraqah tidak pernah ragu, suatu waktu janji itu
pasti terbukti. Ya, diakhir zaman Khalifah Saiyidina Umar bin Khattab,
tentera Islam berjaya mengalahkan kerajaan Farsi.
Beberapa utusan panglima Sa’ad bin Abi Waqqash yang telah menakluk
Farsi tiba di Madinah. Selain melaporkan kemenangan-kemenangan yang
dicapai tentera Muslim, mereka juga menyimpan seperlima harta rampasan
perang yang diperolehi selama mereka berjuang menegakkan kalimatullah.
Khalifah Umar terpegun melihat timbunan rampasan perang itu. Ada
mahkota raja-raja, pakaian kebesaran kerajaan bersulam, dan lain-lain
harta benda yang sangat indah. Khalifah menguis-nguis timbunan harta itu
dengan tongkatnya. Kemudian berpaling kepada orang-orang yang berada di
sekitarnya lalu berkata, “Alangkah jujurnya orang-orang yang menyimpan
semua ini.”
Ali bin Abi Thalib yang turut ada ketika itu menyahut, “Wahai Amirul
Mukminin, oleh kerana engkau jujur maka rakyat pun jujur juga. Tetapi
jika engkau khianat, maka rakyat akan khianat pula.”
Ketika itu, Khalifah Umar mengambil dua gelang kebesaran Kisra dan
menyerahkannya kepada Suraqah bin Malik. Saat itulah Suraqah teringat
kembali janji Rasulullah kepadanya. Setelah menanti sekian lama, janji
itu terbukti akhirnya.
Ya, Rasulullah adalah Sodiqul Masduq, yang benar lagi dibenarkan. Apa
yang disabda baginda, pasti berlaku. Faktor masa saja yang
menentukannya. Banyak sabda-sabda baginda yang telah berlaku. Antaranya
ialah biasa kita baca di dalam kitab hadis 40, antara tanda-tanda kiamat
ialah orang-orang yang berjalan ‘kaki ayam’, mengembala kambing,
tiba-tiba berlumba-lumba membina bangunan tinggi. Sebahagian besar
pemilik-pemilik bangunan hotel-hotel yang banyak di Mekah ini asalnya
adalah kaum Badwi pengembala kambing. Malah pemerintah kerajaan Saudi
sekarang asalnya kaum Badwi.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar